Ceramah Motivasi Di SK Pogoh - Skim F Daerah Segamat
Wednesday, March 18, 2009

Pensyarah Psikologi Sukan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir telah hadir di SK Pogoh, Segamat untuk berkongsi pengalaman dan memotivasikan para pelajar serta para jemputan tentang pengalaman beliau semasa merentasi kutub utara dan selatan.
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Foto : Berita Harian

Beliau telah berkongsi pengalaman beliau meredah laluan sejauh 100 kilometer dari Last Degree 89 darjah utara ke paksi bumi 90 darjah utara. Sememangnya ekspedisi di Kutub Utara ini berbeza daripada di Kutub Selatan kerana menurut beliau di Kutub Utara sebenarnya tiada daratan cuma lautan beku semata-mata. Ini bermakna beliau akan berjalan di atas bongkah ais dan ada ketika terpaksa berenang untuk ke bongkah ais berikutnya.

Di samping itu di antara cabaran yang telah dilalui oleh beliau ialah Dense Fog iaitu apabila persekitaran menjadi terlalu putih sehingga menyukarkan penglihatan dan The Phenomenon iaitu lingkaran cahaya dan habuk yang boleh menyebabkan whiteouts. Whiteouts merujuk kepada ribut salji yang menghilangkan keupayaan melihat kawasan sekitar.

Terdapat juga cabaran Black Skies iaitu bayang-bayang di langit yang boleh membiaskan fatamorgana dan mencipta ilusi sehingga menyangka nampak benda-benda yang tidak wujud di situ. Beliau juga ada kemungkinan akan dihanyutkan oleh bungkah ais jauh daripada laluan asal atau berhadapan dengan bungkah ais yang membukit tingginya.

Beliau juga telah belajar menembak kerana akan membawa bersama pistol Magnum 44 bagi melindungi diri daripada kemungkinan serangan beruang kutub yang mempunyai ketinggian dalam lingkungan 9 kaki.

Walaupun begitu berkat latihan lebih daripada 2 tahun beliau akhirnya telah berjaya menamatkan ekspedisi ke Kutub Utara yang mengambil masa 2 minggu.

Pada penghujung tahun 2004, beliau telah berjaya menjejakkan kaki ke Kutub Selatan apabila merentasi Antartika sejauh 1,127 kilometer dengan mengambil masa 22 hari. Ini mengatasi rekod yang dipegang oleh seorang lelaki warga Britain yang telah melalui ekspedisi yang sama selama 24 hari.

Misi kutub ke kutub ini telah berjaya, Datin Paduka Sharifah Mazlina telahpun akan menjadi wanita Asia pertama berjaya menjelajah kedua-dua Kutub Utara dan Kutub Selatan. Harapan beliau adalah supaya beliau menjadi ikon serta mentor kepada anak muda untuk menyahut cabaran kapsul masa yang telah beliau tanam di paksi bumi di kutub selatan.

Untuk info lebih lanjut dan terperinci boleh ke laman web rasmi beliau Misi Kutub Ke Kutub.

0 Komen:

Post a Comment

Please Don't SPAM