Sasaran Kerja Tahunan Untuk FT17 - Skim F Daerah Segamat
Sunday, October 11, 2009

Bila dah dekat-dekat hujung tahun macam sekarang ni, pejabat sekolah akan mula menyerahkan borang SKT (Sasaran Kerja Tahunan) pada semua kakitangan sokongan termasuk guru-guru sekali. Tapi apa yang penting disini adalah bagaimana kita boleh dapatkan markah yang tinggi dalam SKT tanpa perlu menambah tugas rasmi seharian kita.


Didalam borang SKT masing-masing terdapat beberapa bahagian sahaja yang wajib diisi dan selebihnya akan dipenuhkan oleh pegawai yang bakal menilai kita iaitu Guru Besar/Pengetua dan Penyelia ICT Pejabat Pelajaran Daerah Segamat. Manakala ada sebahagian sekolah menyerahkan tugas pegawai penilai untuk juruteknik komputer kepada GPK1 dan Guru Besar/Pengetua.

Tak kisahlah walau sesiapapun pegawai penilai yang terlibat, apa yang diutamakan adalah isi kandungan SKT masing-masing.

Bahagian yang perlu diisi adalah Bahagian I dan Bahagian II sahaja. Boleh tulis tangan ataupun gunakan mesin taip (kalau rajin boleh buat format dalam komputer).

Pada Bahagian I merupakan ruangan untuk kita menyenaraikan Sasaran Tahunan kita. Disini seeloknya hanya senaraikan tugasan mengikut senarai tugas FT yang terdapat didalam Fail Meja masing-masing. Manakala petunjuk prestasi merupakan tahap kualiti tugas yang kita telah laksanakan, samada berjaya dengan sepenuhnya ataupun sebahagian ataupun tugasan tersebut masih berjalan lagi. Catatkan juga diruang tersebut masa yang diambil bagi tugasan tersebut dan kos yang terlibat jika ada. Bahagian ini boleh dibuat pada helaian lain sekiranya ruang yang disediakan tidak mencukupi tetapi hendaklah menggunakan format yang sama seperti didalam borang yang diberikan. Secara keseluruhan dalam Bahagian I ini hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya 5-6 aktiviti bagi sepanjang tahun tersebut. Tarikh di bahagian ini hendaklah menggunakan tarikh awal tahun. Sebagai contoh SKT Bahagian I adalah seperti dibawah:-

Aktiviti : Menyelenggara peralatan ICT, aplikasi dan operasi sistem yang dibekalkan oleh KPM/JPN/PPD dan memastikan semua perkakasan dalam keadaan sedia untuk digunakan bagi tujuan PnP.
Petunjuk : Tugasan berjalan sepanjang tahun.

Aktiviti : Membantu, memantau dan menyelia rangkaian LAN dan WAN serta menyelaras peralatan seperti Firewall, Proxy, DNS dan lain-lain bagi rangkaian SchoolNet di makmal dan pusat akses.
Petunjuk : Tugasan dilaksanakan secara berkala dua kali sebulan.

Pada Bahagian II pula kita boleh menambah aktiviti baru yang dilaksanakan sepanjang tahun tersebut, sebagai contoh tugasan untuk membuat video korporat sekolah, tugasan untuk menambah rangkaian komputer, tugasan untuk membuat sharing printer, tugasan untuk memasang wireless antara bangunan sekolah dan sebagainya tetapi tugasan tersebut hendaklah didalam pengetahuan guru besar / pengetua. Petunjuk prestasi bagi bahagian ini adalah sama sepertimana petunjuk prestasi bagi Bahagian I.

Bagi ruangan aktiviti yang digugurkan pula kita boleh senaraikan aktiviti / projek yang dibatalkan dalam tahun tersebut jika ada. Seeloknya tulis tiada sahaja.

Bagi ruangan terakhir iaitu ruangan ulasan keseluruhan, kita hendaklah membuat penilaian sendiri terhadap sasaran kerja tahunan kita tersebut. Anda berhak menilai sendiri berapa peratusan yang anda hendak berikan terhadap kualiti sasaran anda, tetapi pastikan peratusan tersebut mestilah diatas 85%.

Dalam Bahagian II juga adalah satu ruangan yang diberi nama Kegiatan dan Sumbangan Di Luar Tugas Rasmi. Di bahagian ini kita boleh penuhkan dengan senaraikan tugasan di luar waktu tugas rasmi seperti menjadi ahli jawatankuasa keselamatan taman, ajk surau dan sebagainya boleh diletakkan diruangan ini.

Diruangan latihan pula senaraikan semua kursus dan latihan yang pernah dihadiri sepanjang tahun tersebut dan pastikan dicatatkan sekali jika ada menerima sijil bagi kursus/latihan tersebut. Dan akhir sekali senaraikan jenis kursus/latihan yang kita rasakan perlu untuk menambah kecekapan kita dalam melaksanakan tugasan pada tahun-tahun yang akan datang. Jelaskan sebab yang munasabah kenapa kursus/latihan tersebut amat diperlukan.

Akhir kata, sekiranya ada kekurangan dan kesilapan dalam menterjemahkan SKT ini kedalam blog ini aku dengan rendah dirinya nak mohon maaf. Aku sekadar berkongsi pemahaman berhubung SKT, ramai lagi FT yang dah berjaya dapat SKT atas 90% rasanya dan boleh minta tunjuk ajar dari mereka. Wassalam.....


0 Komen:

Post a Comment

Please Don't SPAM