Khidmat Internet TM terganggu - Skim F Daerah Segamat
Monday, February 1, 2010

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Internet Telekom Malaysia Bhd (TM), hari ini mengalami gangguan berikutan kerosakan sirkit pada kabel dasar laut yang menghubungkan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) di Asian American Gateway (AAG) yang terletak di Lantau, China.

Menurut kenyataan TM hari ini, berikutan masalah itu, pelanggan akan mengalami sambungan Internet yang perlahan ketika melayari laman-laman web yang dihoskan di Hong Kong dan AS. Mereka yang menggunakan perkhidmatan Protokol Internet (IP) lain seperti Rangkaian Persendirian Maya (VPN) serta aplikasi perniagaan kritikal yang dihubungkan ke Hong Kong dan AS juga mungkin mengalami gangguan perkhidmatan.

Bagi mengatasi masalah itu, beberapa laluan Internet dialihkan ke sambungan alternatif bagi mengurangkan kesesakan, tambah kenyataan itu. Menurut TM, berikutan kerja membaik pulih itu, trafik ke Amerika Utara dan Hong Kong dijangka mengalami gangguan manakala trafik ke negara lain adalah seperti biasa.

Pelanggan TM boleh menghubungi syarikat itu di talian 100 dan pilih "perkhidmatan Internet" atau menghantar e-mel di help@tm.com.my untuk membuat laporan mengenai sebarang masalah perkhidmatan internet berkaitan. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

Please Don't SPAM